,

Subhanallah! Ashraf Muslim Kongsi Pengalaman Hebat Bersama Pesakit COVID-19 Kluster Tabligh


Pelakon Ashraf Muslim telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor sejak 12 April lalu selepas disahkan COVID-19.

Sebelum ini Ashraf telah berkongsi rasa syukurnya dikelilingi pesakit COVID-19 dari kluster tabligh sepanjang menerima rawatan di wad hospital tersebut.

Bagaimanapun, semalam Ashraf berkongsi rasa sayunya berpisah dengan teman-teman di wad 31, Hospital Sungai Buloh.

Menurut Ashraf dia tidak akan melupakan kenangan bersama mereka termasuk ilmu yang telah dikongsikan sepanjang berada di situ.

“Seorang demi seorang meninggalkan aku disini. Syukur pada mereka ramai yang telah sihat dan dapat berjumpa dengan ahli keluarga.

“Kenanganku bersama mereka takkan aku lupakan…Segala ilmu yang dikongsi takkanku sia-siakan.


Perasaan sayang bersama mereka telah timbul dengan perwatakan dan akhlak yang ditunjukkan kepada aku.

“InsyAllah setiap pesanan yang diberikan akan ku amalkan. Terima kasih sahabatku Firdaus, Abdullah, Encik Shamsul dan ramai lagi.

“Dan paling ku tidak lupakan lelaki yang berjubah yang meninggalkn senyuman padaku ini ialah lebih dikenali Hj Usman, banyak kata-katanya membuatku tersedar dari tidur.




Terima kasih semua di wad 31. Hanya Allah yang mampu membalas kamu semua,” tulisnya pada sebuah posting di Instagram (IG).

Terdahulu menerusi laporan Rotikaya, Ashraf berkongsi hikmah dijangkiti COVID-19 apabila dia dapat menunaikan solat secara berjemaah dan mengisi waktu dengan pelbagai aktiviti keagamaan bersama pesakit lain.

“Selama ni saya tak tahu, apabila dah kena baru saya faham kenapa Allah pilih saya sebagai orang yang kena COVID-19. Setiap hari dapat solat berjemaah tepat waktunya dan ada ceramah…macam-macam aktiviti di sini.

“Kalau di rumah, tak sempat itu semua, duduk seorang tengok televisyen sahaja. Dekat sini kawan-kawan semua baca Al-Quran, cerita fasal agama dan kebesaran Allah. Senang cerita datang sini macam masuk summer camp, kem bina semangat.

“Di sini ramai pesakit daripada kalangan jemaah tabligh, mereka tunjuk cara dakwah dan buat hati kita tenang. Sebab itu Allah pilih mereka sebagai golongan terawal dapat CoVID-19” katanya menerusi siaran langsung di IG pada malam Khamis lalu.

Sementara itu, Ashraf turut memperbetulkan tanggapan negatif netizen mengenai pesakit dalam kalangan kluster jemaah tabligh.

“Saya selalu fikir kenapa COVID-19 bermula dalam kalangan jemaah tabligh, ramai orang salahkan mereka…ini jawapan saya nak beritahu!

“Di wad ini ada berpuluh pesakit daripada jemaah tabligh dan mereka ini menghidupkan hospital dan wad dengan nilai Islam… tunjuk kepada kita cara dakwah.

Nasib baik saya pergi buat saringan, kalau tak buat ujian jalan sana sini dah banyak tempat saya bawa virus!

“Setiap wad diazankan oleh pesakit. Ada tabligh, ada pelajar madrasah. Kalau orang dah solat jemaah depan mata, mestilah kita ikut sekali… banyak benda yang kita belajar di sini,” ujarnya. -gempak.com-