,

PU Amin Bantu Hampir 100 Ustaz, Ustazah Pendakwah Sepenuh Masa


Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin mengambil inisiatif membantu golongan guru agama yang terjejas pendapatan mereka akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut PU Amin, sebagai seorang pendakwah, dia sendiri bersimpati apabila mendapat perkhabaran ada antara mereka yang selama ini bergantung kepada bayaran upah tidak dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Nasib para ustaz dan ustazah sepenuh masa kerja dakwah sangat terkesan. Para ustaz, ustazah dan guru agama ini habiskan masa hidup mereka untuk berdakwah dan mengambil sedikit upah untuk menyara kehidupan mereka.

"Namun, fenomena hari ini memberi tekanan dan kesusahan dalam hidup mereka. Mereka hilang punca pendapatan.

"Tak sanggup nak baca kisah mereka. Susah hidup sebagai guru agama. Ada nak makan tak cukup, lampin anak tak boleh beli, gaji, elaun tak ada. Mereka ikhlas buat kerja agama," kongsinya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.






Katanya sehingga kini hampir 100 orang guru agama sudah berjaya disalurkan bantuan.

"Saya berkongsi sedikit rezeki yang ada tanda terima kasih atas usaha mereka menjalankan kerja dakwah dengan ikhlas," katanya.

Perkongsian PU Amin itu kemudian menerima pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.


Rata-rata mendoakan agar dirinya terus dimurahkan rezeki dengan tindakannya yang membantu golongan yang selama ini menyebarkan ajaran agama Islam.

 
 
gempak.com