,

Pernah Satu Tahap Saya & Isteri Sampai Kena Catu Makanan - Asyraf Khalid


Usahawan terkenal, Asyraf Khalid akui skeptikal yang mendakwa dirinya menggunakan kabel ayah, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) dan pengaruh ibu tiri, Datuk Seri Siti Nurhaliza demi memajukan perniagaan itu ada kalanya menyentak diri.

Kata Asyraf, usaha titik peluh dan kerja keras selama bertahun tahun termasuk mengukuhkan perniagaan jamu Mutyara Beauty sejak dua tahun lalu bersama isteri, Tya Arifin dilihat mendapat lesen serta laluan mudah hanya kerana pengaruh bapanya.

"Hati siapa yang tak terguris kalau balik balik pandangan sama yang dilemparkan orang luar serta pemerhati dunia niaga. Rasa kadang kadang macam loser, kerana mereka fikir saya kecapi semua ini dengan cara mudah selain tanggapan klise.

"Jujur saya tak boleh menafikan rasa bengang, jelak dan amarah itu pernah bersarang sampai naik geram. Biasalah yang orang nampak hanya keindahan, di sebalik semua itu... tak ada siapa yang tahu.

"Cuma tak adil jika mereka terus berandaian begitu dan begini. Tapi kalau terus larut dengan rasa negatif itu pun saya tak akan ke mana. Saya lawan segala rasa,” katanya membuka bicara.



Jelas papa kepada dua cahaya mata comel, Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa ini dia mula berjinak jinak dalam dunia perniagaan tanpa langsung menggunakan pengaruh ayahnya.

"Saya bertatih sendiri dari bawah. Ikutkan sejak usia tujuh tahun lagi saya sudah jual pen di sekolah dan macam macam lagilah lubuk perniagaan yang dicuba. Saya betul betul serius mahu bergelar ahli perniagaan sejak usia 22 tahun hinggalah sekarang.

"Saya dan pasukan kerja keras untuk menakluki apa yang diraih kala ini. Isteri saya juga antara insan penting yang berada dalam pasukan kerja itu.

"Setiap hari kami kena kerja keras. Ia tak datang bergolek begitu saja. Saya tak guna kabel pun, tak ada merayu bantuan ayah sekalipun untuk keluar modal.

"Saya sedar juga dalam dunia niaga ini bukan semua yang kita buat akan beroleh kejayaan. Ada juga perniagaan yang saya buat berakhir begitu saja. Namun itu bukan penamat segala galanya," kata Asyraf.

Dalam pada itu, Asyraf menyatakan Tya menjadi saksi jatuh bangun dirinya dalam dunia perniagaan.

"Tya banyak melihat dan melalui serba serbi kesukaran dan kepayahan hidup. Bisnes yang gagal dilakukan juga berakhir dengan pelbagai ujian termasuk saya berdepan dengan hutang yang banyak.

"Pernah satu tahap saya dan isteri sampai kena catu makanan kerana kekangan duit. Kami hanya ada RM10 untuk memilih sama ada makan nasi goreng di kantin atau di restoran Mamak.

"Lepas itu nak bina perniagaan baru balik bukan mudah. Tapi saya berkeras untuk melaluinya tanpa meminta pertolongan sesiapa. Termasuk ayah. Saat saya bernikah dan mempunyai anak,diri ini terfikir takkan nak beli lampin pakai buang pun ayah masih nak tanggung.

"Berbekal semangat, ilmu dan pengalaman termasuk ketika belajar dengan syarikat Richworks, saya bangkit semula. Perjuangan itu bagai baru bermula dan perlahan demi perlahan, saya bina kembali empayar dunia niaga sekali gus mengangkat jenama Mutyara sehabis baik.

"Perjalanan nak sampai ke sini bukan mudah. Sebab itu apabila saya dapat komen skeptikal hanya kerana saya anak Datuk K semua dilihat mudah, hati ini jadi cepat terasa. Saya juga manusia yang ada hati dan perasaan macam orang lain.

"Dalam hal sebegini, ia bukan mengenai dia itu anak siapa. Ramai juga yang kita tahu anak orang berada lebih selesa tidak berbuat apa termasuk menjalankan perniagaan kerana mereka sudah terbiasa mendapat wang dengan mudah. Itu pilihan masing masing.

"Sebenarnya ada ramai usahawan berjaya yang saya lihat boleh berjaya tanpa bergantung kepada sesiapa. Malah mereka sebenarnya bermula dari ‘zero’," kata lagi. -gempak.com-