,

Bekas Juara Vokal Bukan Sekadar Rupa, Jual Ikan Cari Rezeki


Bekas juara pertandingan Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua, Uchop tidak berputus asa untuk mencari rezeki buat keluarganya walaupun terpaksa menjual ikan.

Uchop ketika dihubungi Gempak berkata, dia mula berniaga ikan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan akibat pandemik COVID-19.

Tambahan lagi kata Uchop dia mula terfikir untuk mencari sumber rezeki lain selepas 10 persembahan nyanyiannya terpaksa dibatalkan.

“Selepas PKP diumumkan Perdana Menteri, 10 undangan nyanyian saya dibatalkan. Daripada situ saya mula terfikir cara menjana pendapatan.





“Takkanlah sepanjang PKP ini saya perlu duduk di rumah. Duit tak datang kepada kita. Jadi ada seorang kawan ajak saya buat bisnes ini dengan dia,” katanya.

Tambah Uchop lagi, dia juga tidak malu jika diejek sebagai penjual ikan kerana dia mencari rezeki halal dan tidak mengharapkan bantuan sesiapa.

“Buat apa nak malu. Saya cari rezeki halal…Saya tak harapkan bantuan sesiapa. Lagi pun saya masih ada kudrat untuk buat kerja.

“Biar apa orang nak kata, saya fokus dengan apa yang saya buat sekarang. Sekurang-kurangnya kalau ada yang nak beli ikan tak perlu keluar rumah.

"Alhamdulillah, usaha ini dapat sokongan yang baik daripada pembeli. Datuk Hattan antara pelanggan saya yang menggunakan khidmat saya untuk kerja amalnya. Dia tempah ikan segar untuk diberikan kepada rakan artis yang kurang bernasib baik,

“Saya ambil ikan segar di Jeti Pasir Penambang, Kuala Selangor” katanya yang keluar seawal jam 3 pagi setiap hari untuk mengambil ikan.

Kata Uchop lagi dia mahu menukar persepsi masyarakat terhadap golongan artis yang dikatakan kaya raya.

"Artis juga kena berusaha seperti orang biasa dan persepsi inilah yang nak diperbetulkan.

"Setakat ini saya seronok dengan apa yang dilakukan," katanya. -gempak.com-