Pak Nil Ambil Keputusan Meninggalkan Astro


Pengacara Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali Pak Nil mengakui mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya sebagai Naib Presiden Pengurusan Bakat On Air Astro pada hujung tahun lalu.

Menurut Pak Nil, dia mahu memulakan perniagaan sendiri dengan membuka kelas pengacaraan dan pengucapan awam sendiri selepas ini.

"Saya sebenarnya bukan mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS), kerana Jawatan saya sebagai Naib Presiden tiada tawaran untuk VSS.

"Ia sebenarnya adalah pemintaan saya untuk meninggalkan jawatan dalam Astro, tapi dengan syarat saya masih lagi berkhidmat sebagai pengacara dan mengajar kelas mengajar bakat On Air.

"Saya sudah mempunyai rancangan sejak setahun lalu untuk melakukan perniagaan dengan membuka kelas pengacaraan dan pengucapan awam kepada masyarakat," katanya kepada Astro Gempak.

Pak Nil berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program Mikrofon Impian, di The Majapahit, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Program Mikrofon Impian akan diterajui Pak Nil sebagai hos dan menampilkan tiga juri tetap iaitu Fauziah Latiff, Azmi Saat dan Aliza Ali yang akan mengadili para peserta.

Mikrofon Impian akan bersiaran setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 17 Februari menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123). gempak.com