,

3 Beradik Di Kelantan Sanggup Angkut Pasir Di Sungai Untuk Bina Rumah Sendiri


DEMI memiliki rumah sendiri, dua beradik berulang-alik mengangkut pasir dari anak sungai di Kampung Panggong, Pasir Puteh, sejak dua bulan lalu.

Mohd Hakim Hakimi Mohd Rusdi, 25, dan adiknya, Mohd Haizu Naimi, 21, mengambil pasir di sungai kira-kira 50 meter dari rumah bagi membuat batu-bata untuk mendirikan kediaman di tanah pusaka arwah nenek mereka, Rakiah Daud.

Mohd Hakim berkata, mereka berniat mendirikan rumah kerana sebelum ini dia, Haizu dan seorang lagi adik mereka, Nurin Amalin, 14, menumpang arwah nenek selepas kematian bapa, Rusdi Hassan pada 2010.

Menurutnya, ibu saudara mereka yang berstatus ibu tunggal turut tinggal di rumah nenek ketika itu.




Katanya, ibu mereka pula berkahwin lain dan mengikut suami manakala abang sulung, Mohd Hafiz, 27, berhijrah ke Kuala Lumpur.

"Dulu tak apa ada nenek, bila nenek meninggal dunia, kami rasa tak manis tinggal bersama ibu saudara dan anak-anaknya yang semakin membesar.

"Lagipun saya terfikir sampai bila nak menumpang orang, bila arwah bagi kami buat rumah di tanah pusaka yang lama ditinggalkan, saya ambil keputusan buat rumah sendiri dengan bantuan adik dan kawan-kawan," katanya ketika ditemui di kampung itu.

MOHD Hakim (kanan) dan adiknya, Mohd Haizu membuat batu-bata bagi membina rumah impian mereka. FOTO Nor Amalina Alias



Mohd Hakimi berkata, setiap kali mempunyai duit lebih, dia akan membeli simen dan mengaut pasir di sungai yang bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Katanya, dia yang berkerja kampung tidak mempunyai wang cukup untuk membina rumah selain cuba membuat permohonan kediaman namun tidak pernah mendapat jawapan.

"Syarat nak buat rumah bukan mudah, sebab tu saya dan adik cuba mana kami mampu dan mulakan sikit-sikit kerana kami perlukan rumah untuk berdikari," katanya.

MOHD Hakim (kiri) dan Mohd Haizu mengangkut pasir sungai untuk membuat batu-bata. FOTO Nor Amalina Alias

Sementara itu, ibu saudara mereka, Wan Norhasnida Wan Nordin, 33, berkata, impian membina rumah sudah lama diluahkan Mohd Hakimi.

Katanya, sebelum ini dia tinggal bersama tiga beradik itu dan empat anaknya berusia antara 6 hingga 15 tahun di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di tanah milik saudara mereka.

"Lepas mak meninggal, Hakimi sering memberitahu mahu rumah sendiri. Dia sanggup buat sikit-sikit di tapak asal rumah mak dan saya berharap ada pihak bantu mereka capai impian nak ada rumah sendiri," katanya.

Sumber : HMetro