,

Pelakon Kanak-Kanak Puteri Rayyana Rayqa & Ibu Positif COVID-19


Pelakon kanak-kanak Puteri Rayyana Rayqa Herda Banu Prasetiawan atau lebih mesra disapa sebagai Rayqa disahkan positif wabak COVID-19.

Berita tersebut disahkan ibu Rayqa, Norinsyira Muhamad yang juga pengurus kepada pelakon berusia 6 tahun tersebut.

Norinsyira atau Syira ketika dihubungi Gempak berkata, dia dan Rayqa disahkan positif COVID-19 pagi tadi.

“Kami positif. Doakan kami ya. Buat masa sekarang kami sedang menanti panggilan daripada hospital untuk proses selanjutnya," katanya yang menjalani ujian saringan di salah sebuah pusat perubatan di Damansara pada tengahari semalam (Rabu).



Ditanya mengenai perkembangan Rayqa, Syira berkata anaknya itu berada dalam keadaan ketakutan tetapi tidak membimbangkan.

“Dia ketakutan selepas saya beritahu kami dijangkiti COVID-19. Dia menangis sebab tak nak berpisah dan berjauhan dengan saya.

“Cuma buat masa ini saya kena kuat untuk Rayqa. Dia satu-satunya puteri saya dan segala-galanya buat saya.

“Saya sanggup buat apa sahaja demi dia…Dahulukan dia berbanding kerja-kerja saya. Saya harap kami kuat menempun dugaan ini bersama-sama,” katanya.

Rayqa antara pelakon yang terlibat dalam penggambaran drama Demi di Inverness, Scotland dan ditemani ibunya.

Sebelum ini enam kru produksi drama Demi arahan Rahila Ali itu disahkan positif wabak tersebut pada Selasa lalu.

Kumpulan produksi drama Demi berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu, sebelum kes penularan COVID-19 ketara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum dikuat kuasa.

Drama Demi, diadaptasi daripada novel dibintangi Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Ben Amir, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa.

Bagaimanapun, Ben pulang beberapa hari lebih awal daripada kumpulan produksi terbabit. -gempak.com-