,

Mapim Gesa Kerajaan Ambil Tindakan Kepada Pihak Sebar Kebencian Terhadap Rohingya


Sebuah pertubuhan Islam menggesa Putrajaya mengambil tindakan ke atas pihak bertanggungjawab mencetuskan ketegangan dan kempen kebencian terhadap golongan pelarian, khususnya komuniti Rohingya.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid mengesyaki ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membangkitkan isu etnik Rohingya untuk memberi gambaran bahawa negara tidak bersimpati dengan komuniti itu.

“Kami melihat trend kecaman ini sedang merebak di Malaysia melalui media sosial. Sentimen dan agenda tersebut disebarkan untuk menjadikan Rohingya sebagai sasaran penghapusan etnik dan genosid.

“Kami khuatir sentimen ini cuba disebarkan untuk mencetuskan ketegangan antara komuniti Rohingya dengan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.




Ini berikutan satu rakaman video dan laporan yang mendakwa pelarian Rohingya menuntut hak sama rata di negara ini, termasuk taraf kewarganegaraan.

Terdahulu hari ini, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa hairan betapa kedatangan pelarian Rohingya ke negara ini tiba-iba menjadi isu besar.

Ismail berkata, kedatangan etnik tersebut bukan perkara baru, begitu juga keterbukaan kerajaan menerima mereka atas dasar kemanusiaan kerana ditindas di negara sendiri.

Menurutnya, pelarian Rohingya mula datang ke negara sejak 1982, dan rakyat Malaysia sebelum ini tidak pernah mempersoalkan bantuan kemanusiaan yang diberikan kepada mereka.

“Rakyat Malaysia menunjukkan simpati yang amat mendalam kepada mereka kerana dilayan dengan sangat kejam oleh regim Myanmar sehingga ramai terpaksa melarikan diri ke negara lain seperti Malaysia.

“Penangkapan, penyiksaan, rogol, penyembelihan kanak-kanak dan pembakaran seluruh perkampungan berleluasa di wilayah Rakhine di Myanmar.


“Bahkan PBB juga mengesahkan komunti Rohingya adalah etnik minoriti paling tertindas di dunia,” katanya.

Katanyanya, dakwaan pihak tertentu bahawa Malaysia merupakan satu-satunya negara menanggung beban menerima masuk ratusan ribu pelarian Rohingya juga adalah tidak benar.

“Mengikut Suruhanjaya Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Thailand Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India dan Arab Saudi juga menerima pelarian Rohingya.

Pada 16 April, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyekat sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara.

Sehari sebelum itu, 60 etnik Rohingya dilaporkan maut dalam bot yang sarat dengan ratusan pelarian selepas pihak berkuasa Thailand dan Malaysia menghalang kemasukan mereka.

Dianggarkan 200,000 etnik Rohingya kini berada di Malaysia, tetapi mereka dinafikan pekerjaan sah kerana kerajaan tidak mengiktiraf mereka sebagai pelarian. -freemalaysiatoday-