,

Bantu Lindungi Frontliners, Inisiatif Doktor Di Kuantan Hasilkan 'I3S Cubicle'


Sudah memasuki minggu ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan petugas-petugas barisan hadapan masih tidak jemu bertungkus-lumus menjalankan tugas untuk menyelamatkan rakyat Malaysia.

Disebabkan itu, seorang doktor tampil dengan idea kreatif membantu petugas barisan hadapan yang berjuang memerangi wabak COVID-19 untuk melindungi diri mereka daripada jangkitan tersebut.

Menurut laporan Bernama, seorang doktor di Kuantan menghasilkan kubikel 'I3S Cubicle' yang berupaya melindungi petugas kesihatan daripada jangkitan virus itu ketika melakukan saringan pesakit.

Kubikel itu dipasang di hadapan unit kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada Ahad dan hanya mengambil masa sehari untuk disiapkan.

Sebelum itu Pakar Perunding Pembedahan Mulut dan Maksilofasial Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Dr Firdaus Hariri, 42, menghasilkan kotak perlindungan intubasi yang mudah untuk diedarkan secara percuma di hospital dan klinik awam di seluruh negara.

Kotak-kotak perindungan intubasi itu yang dibuat menggunakan acrylic lutsinar mampu berfungsi sebagai perisai untuk petugas perubatan barisan hadapan semasa melakukan prosedur intubasi pada pesakit COVID-19.



Dalam pada itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan 10 unit 'Pondok Nyah Cemar Automatik UTM Shield', untuk kegunaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Inovasi hasil usaha sama penyelidik dan pelajar Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, serta Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan itu berfungsi secara automatik, dan mampu nyah cemar keseluruhan badan individu.

Sementara itu, benteng barisan hadapan juga akan diperkuatkan dengan penerimaan kit pengesanan pantas antigen baharu dari Korea Selatan hari ini dalam usaha meningkatkan bilangan ujian dan kadar ketepatan setiap ujian COVID-19 yang dijalankan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun, berkata alat baharu itu perlu melalui proses penentusahan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum sebarang keputusan untuk membeli kit berkenaan dibuat.

Sumber: BERNAMA