,

Suami Ummi Nazeera Dedah Ada 'Frontliners' Terpaksa Dikuarantin Disebabkan Sikap Tidak Jujur Pesakit Baru Pulang Dari Korea


Suami kepada pelakon Ummi Nazeera, Dr. Mohd. Izzar Anwari mendedahkan kawan rapatnya, Dr. Amirul terpaksa dikuarantin disebabkan seorang pesakit positif COVID-19.

Menurut Izzar, Amirul telah terdedah dengan risiko selepas pesakit terbabit tidak memaklumkan yang dirinya baru pulang dari Korea.

"Ini Dr. Amirul. Kawan baik saya sejak zaman kolej lagi. Seorang peminat sukan NBA. Malangnya dia juga seorang peminat Liverpool FC.

"Lebih malang lagi, beberapa minggu lepas dia telah terdedah kepada seorang pesakit COVID-19 positif selama tiga jam tanpa pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap.

"Kenapa dia tak pakai? Sebab pesakit tu tak beritahu semua orang dia baru pulang dari Korea.

"Bukan sahaja Dr. Amirul yang terdedah, malah doktor-doktor di Jabatan Kecemasan dan di wad juga terdedah tanpa perlindungan sebab pesakit tersebut tak jujur semasa ditanya oleh petugas kesihatan.

"Maka doktor-doktor yang terdedah tu semuanya terpaksa dikuarantin. Jadi, berkuranglah doktor-doktor yang boleh bekerja pula. Dan yang paling sedih, mereka terpaksa berpisah dari keluarga," tulisnya di Instagram (IG).

Walaubagaimanapun, Izzar mendedahkan keputusan COVID-19 Amirul adalah negatif dan sudah dibenarkan kembali bertugas.

Dalam pada itu, Izzar turut berpesan kepada semua pihak supaya bersikap jujur di samping memberi kerjasama bagi menangani wabak COVID-19.

"Tapi , setelah buat test COVID-19, keputusan Dr. Amirul adalah negatif. Alhamdulillah! Sekarang Hero Malaya ni dah kembali bertugas.

"Tolonglah bercakap benar! Kalau pernah travel, duduk dekat dengan orang COVID-19 positif, atau ada gejala-gejala tu beritahu je lah kat petugas kesihatan. Bukan suruh menipu pun. Minta jujur je! Help us to help you!

"Terima kasih kepada semua rakan-rakan seperjuangan dan frontliners. Let's win this battle. Yang lain, just stay at home. Jom doakan keselamatan dan kesihatan kita semua. Amin," tulisnya lagi.
 
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 14 April 2020, di seluruh negara. -gempak.com-