Umum mengetahui sebelum ini Mira Filzah mengakui sedang mengenali hati budi seseorang dan timbul spekulasi pelakon cantik itu sedang hangat bercinta dengan jejaka dikenali sebagai Wan Emir Astar.
Kemudian timbul desas-desus mengatakan Mira sudah dirisik dan bakal bertunang pada September tahun ini. Terbaru, Mira Filzah dan buah hatinya itu dikhabarkan akan disatukan sebagai suami dan isteri sekitar bulan Oktober ini.
Menurut satu sumber kepada Astro Awani, pasangan itu bakal mengadakan majlis hari bahagia mereka di ibu negara. Bagaimanapun setakat ini masih tiada kenyataan lanjut daripada kedua belah pihak berhubung perkhabaran gembira itu.
“Insya-Allah jika tiada aral melintang Mira dan Wan Emir akan berkahwin pada Oktober ini,” kata sumber tersebut.
Terdahulu, hangat diperkatakan apabila ada sumber mendedahkan jejaka yang berjaya mencuri hati Mira Filzah dikatakan anak kepada seorang Ahli Parlimen.
Identiti jejaka itu diketahui ramai apabila tampil bersama Mira Filzah di majlis resepsi perkahwinan Farah Nabilah awal Januari lalu.
Difahamkan, Wan Emir merupakan teman lama Mira sewaktu zaman belajar dahulu dan mereka memang rapat. Bagaimanapun, hubungan mereka terputus selepas lelaki itu melanjutkan pelajaran di luar negara.
SUMBER
ASTRO AWANI