,

Tular Minta Pengunjung Pasar Borong Ipoh Buat Saringan Kesihatan, PALSU!


Mesej tular mendakwa Kementerian Kesihatan mengarahkan mana-mana individu yang ke pasar borong Ipoh baru-baru ini agar membuat saringan COVID-19 adalah tidak benar.

Perkara itu dinyatakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan memuat naik mesej tular itu di laman sosial beliau dan menandakan ia sebagai 'palsu'.

Mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp itu meminta sesiapa yang ke pasar borong pada Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad lepas untuk pergi ke hospital atau klinik kesihatan berdekatan bagi membuat ujian saringan COVID-19 kerana berkemungkinan dijangkiti wabak itu.




Dalam perkembangan lain, Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Ding Lay Ming menafikan kematian seorang lelaki warga Indonesia di Kampung Selamat, Sitiawan semalam adalah akibat jangkitan COVID-19.

Beliau berkata ujian COVID-19 yang dijalankan ke atas lelaki berumur 42 tahun itu di makmal Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini pada pukul 9.47 malam tadi adalah negatif bagi jangkitan itu.

Beliau berkata berdasarkan siasatan pihaknya, lelaki itu demam, hilang selera makan serta sukar bergerak sejak Jumaat lepas dan seorang doktor swasta yang merawatnya di rumah mengesyaki beliau mengalami masalah radang otak atau meningitis.


"Kesihatan lelaki itu semakin merosot dan ditemukan tidak bernafas pada pukul 3.00 pagi sebelum disahkan meninggal dunia pada 6.33 pagi hari yang sama di Hospital Seri Manjung," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

-- BERNAMA